TEXAS – Jaguh MotoGP, Valentino Rossi mengakui pelumba muda ketika ini terlalu berani mengambil risiko dan tidak mengendahkan peraturan yang telah ditetapkan dalam perlumbaan motosikal.
Rossi mengakui sedih dengan insiden maut melibatkan pelumba muda tahun ini dan terbaharu sepupu Maverick Vinales, Dean Berta Vinales, 15, menjadi korban ketiga yang maut ketika bersaing perlumbaan Supersport 300 di Jerez, Sepanyol.
Selain Berta, dua pelumba lain yang turut maut dalam saingan perlumbaan motosikal adalah Jason Dupasquier (19 tahun) ketika bersaingan Moto3, Itali, dan Hugo Millan (14 tahun) pada perlumbaan European Talent Cup di Aragon.
“Apa yang terjadi di Jerez adalah satu insiden tragis yang membabitkan kematian pelumba yang sangat muda.
“Apa yang kita perlu pelajari dan mengambil iktibar daripada insiden tersebut ialah mengenai peraturan. Perkara paling bahaya adalah jika seseorang jatuh dan apakah tindakan pelumba berada di belakang.
“Perkara paling penting pelumba seharusnya lebih menghormati bendera kuning. Biasanya jika bendera kuning dikibarkan, pelumba perlu waspada dan memperlahankan kelajuan.
“Sangat berbahaya kerana ada banyak pelumba bersaing agak rapat dan akan berdepan risiko yang tinggi.
“Mengubah peraturan dan menaikkan had umur tidak akan mengubah apa-apa jika mereka gagal mematuhi peraturan. Justeru, pihak berwajib seharusnya lebih tegas selepas ini,” tegas Rossi. – AGENSI