SHAH ALAM – Gelora politik kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka yang menjadi bualan ketika ini turut menarik perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkongsi dua baris pembayang dari serangkap pantun di laman Twitternya hari ini dan meminta pengguna Twitter lain melengkapkan maksud pantun beliau itu.
“Andai roboh kota Melaka, Papan di Jawa hamba dirikan,….haaa sambung,” ciapnya.
Ciapan Amirudin tersebut menarik perhatian netizen yang cuba melengkapkan rangkap maksud pantun Amirudin dengan versi mereka sendiri.
“Kalau menebang si pohon jati, Papan di Jawa dibelah-belah,Kalau amanah sering dikhianati, Nescaya negara berpecah belah,” balas seorang pengguna Twitter, Mior Sharifuddin.
Malah ada, seorang pengguna dikenali Azmir dengan nada sinis menjadikan pergolakan politik sebagai ‘tontonan’ wajar disaksikan orang ramai.
“Kalau betol Melaka dikata, Ambil popcorn duduk saksikan,” jelasnya. -K! ONLINE.