PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa majlis sosial dalam tempat tertutup mungkin antara sektor terakhir yang akan dibuka.
Perkara itu dimaklumkan di Twitter rasmi Khairy Jamaluddin ketika beliau membalas satu ciapan yang bertanya mengenai majlis sosial sebaik sahaja pergerakan rentas negeri dibenarkan.
Beliau juga berkata, pihaknya tidak yakin bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang ada ketika ini dapat dilaksanakan dalam sebuah majlis sosial dengan kehadiran tetamu yang ramai.
“Saya tidak yakin bahawa SOP pada masa ini dapat dilihat dalam majlis perkahwinan besar-besaran di mana orang ramai tidak memakai topeng muka dan bercakap dengan mulut yang penuh dengan makanan.
“Kita cuba lihat dahulu bagaimana tingkah laku orang ramai sebaik sahaja pergerakan rentas negeri dibenarkan,” katanya.
Respon yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif daripada pengusaha majlis perkahwinan yang rata-ratanya merayu agar majlis sosial dibenarkan dengan SOP yang ketat dan 50 peratus kapasiti.
“Jangan macam ini YB, sektor sosial dah dua tahun mati. Jangan terus-terusan bunuh kami. SOP boleh sama seperti di kedai makan,” kata Nur Atiqah.
“Mungkin kerajaan boleh pertimbangkan perkahwinan secara kecil-kecilan. Di restoran orang tanggalkan topeng muka juga untuk makan. Di majlis, penganjur boleh pantau, penjarakan fizikal juga boleh pantau,” kata Sarah.
“Kenyataan ini boleh memberi impak kepada industri kami, selepas ini pelanggan mesti ramai akan datang dan batalkan majlis mereka serta minta ‘refund’. Sejujurnya, kenyataan ini buat kami rasa sangat ‘down’, setelah hampir setahun setengah berhempas pulas mempertahankan syarikat kami,” kata Norfazlin.
Terdahulu, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, majlis meraikan pernikahan atau pertunangan serta majlis perkahwinan hanya dibenarkan dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal hanya dibenarkan di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). – K! ONLINE.