KOSTUM adiwira Spider-Man yang pernah dipakai aktor, Tobey Maguire ketika membintangi filem Spider-Man 3 pada 2007 dilaporkan akan dilelong pada harga sekitar AS$70,000 (RM293,160).
Menurut laporan TMZ, lelongan dibuat oleh pihak produksi Marvel Entertainment yang akan dibuat pada 9 November sehingga 11 November yang akan datang.
Mengetahui hal tersebut, Maguire dalam satu kenyataannya berkata, dia menganggap kostum yang direka oleh James Acheson dan Katina Le Kerr itu sebagai pakaian unik dan selesa ketika disarungkan.
Malah, pelakon itu berkata, sesiapa yang berjaya mendapatkan kostum tersebut merupakan individu yang sangat beruntung.
Selain kostum adiwira, pihak produksi turut akan melelong lebih daripada 1,000 koleksi kenangan lain dalam filem aksi berkenaan.
Spider-Man 3 yang dibintangi Maguire turut menampilkan lakonan pelakon hebat lain seperti Kristen Dunst, James Franco, Thomas Haden Church dan Topher Grace.