SEBELUM ini Muhammad Furqan Fawwas Salleh, 23, dilihat sebagai anggota kumpulan nasyid Zayne, kali ini dia tampil solo.
Penampilan solo Furqan Fawwas atau mesra dengan panggilan Fawwaz itu bukan bermaksud meninggalkan kumpulan Zayne tapi sekadar menjayakan projek khas bersama Smart Audio Visual (M) Sdn. Bhd.
Menerusi projek ini, Fawwas akan tampil dengan single berjudul Nusaibah yang bakal menemui peminat secara rasmi di saluran YouTube Smart Audio Music pada 27 September 2021.
Sehari kemudian, lirik video lagu Nusaibah akan dimuat naik dalam YouTube Furqan Fawwaz pula.
Bercerita tentang pembikinan lagu Nusaibah yang dirakam di Smart Audio Studio, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, Fawwaz berkata, untuk projek tersebut, dia mendapat sokongan penuh daripada anggota kumpulan Zayne.
“Kami anggota Zayne bebas untuk melakukan projek solo masing-masing. Ada juga ahli lain yang menyanyi dengan orang lain. Mana-mana tawaran kami akan ambil dan masing-masing bersikap terbuka. Bila ada projek bersama, kita nyanyi sama-sama, bila ada projek solo makna itu rezeki masing-masing.
“Saya mendapat tawaran untuk rakam lagu Nusaibah aripada Audio Studio supaya lagu ini boleh pergi jauh.
“Asalnya Nusaibah dianggap biasa-biasa saja sebab lagu nasyid, tertanya juga ada lagi ke peminat nasyid. Itu saja tanggapan saya dan tak sangka rezeki saya untuk membawa lagu ini pergi jauh lagi,” kata Fawwaz tentang lagu ciptaannya dan lirik oleh Ustaz Mohd. Izat itu.
Menurut Fawwaz, Ustaz Mohd. Izat atau nama penanya, UMI merupakan guru disiplinnya sewaktu belajar di sekolah Tahfiz Al-Furqan dan idea asal untuk hasilkan lagu Nusaibah ini dicetuskan oleh Ustaz Mohd. Izat.
“Sebenarnya lirik lagu ini dibuat oleh Ustaz Izat iaitu guru disiplin saya masa sekolah tahfiz dahulu. Ustaz Izat pula mengajar di sekolah ayah saya, Sekolah Al- Furqan sewaktu saya berusia 12 hingga 13 tahun, dia guru disiplin saya. Bila dah besar ni jumpa balik Ustaz Izat.
“Kami boleh bertemu balik semua itu atas usaha ayah saya. Ayah ialah Pengetua Tahfiz Darul Furqan atau Mudir dan dia adalah guru kepada Ustaz Izat. Setiap hari ayah tengok saya asyik menyanyi di rumah, dia kata saya kena buat lagu sendiri. Jangan nyanyi kosong dan sebab itu dia hubungi Ustaz Izat, minta ustaz buatkan lirik lagu untuk saya.
“Jadi ustaz WhatsApp saya dan bagi lirik, kemudian saya pun buat melodi dengan gaya tarannum Jiharkah.
“Asalnya saya tak ambil serius sangat untuk jadikan lagu Nusaibah ini komersial sehingga perlu buat promosi dan video muzik. Bagi saya cukup untuk kepuasan diri tapi siapa sangka rezeki, lagu ini boleh diketengahkan,” ceritanya.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Al-Quran dan Qiraat dari Universti Al-Azhar, Mesir itu menjelaskan, kisah Nusaibah kerana wanita itu merupakan seorang mujahidah (pejuang wanita) yang pernah mengikuti beberapa siri peperangan bersama Rasulullah. Dia berharap kisah hidup Nusaibah boleh dijadikan teladan kepada wanita lain.
“Dia adalah wanita Islam yang 100 peratus hidupnya untuk Islam. Dia bukan saja korban dirinya dalam peperangan, bahkan dia korbankan anak-anaknya juga. Dia tak biarkan anak-anaknya duduk di rumah, sebaliknya menggalakkan anak-anaknya pergi berperang.
“Sesetengah ibu bapa terlalu sayangkan anak, sampai jangan sentuh anak aku. Sekarang ini kalau ada orang yang berani sentuh (tegur) anak orang lain, silap hari bulan kena saman. Tapi lain caranya dengan didikan Nusaibah, dia biarkan anak-anak pergi berperang, biar mati syahid,” kata Fawwaz.
Untuk video muzik Nusaibah, pelakon Wan Nor Azlin yang berpengalaman dalam bidang lakonan itu diberi tanggungjawab untuk melakonkan watak Nusaibah.
“Kita cuba masuk dalam cerita Nusaibah yang ada dalam sejarah.
“Kita masukkan bagaimana Nusaibah di medan Perang Uhud, begitu gagah membunuh tentera kafir dan bagaimana dia terputus tangan, pun kita cerita,” jelasnya yang meminati penyanyi Maher Zain itu.
Fawwaz yang pernah tampil dengan lagu Lembaran Juzuk Cinta bersama Halim Ahmad sebelum menyertai kumpulan Zayne berkata, seandainya ada lagi tawaran untuknya menjayakan projek solo, dia tidak akan menolak.
“Malah, sebelum menyertai Zayne, saya pernah sertai beberapa kumpulan nasyid dan pernah menyanyi dengan Rabbani,” katanya.
Lagu Nusaibah, edaran Saudagar Seni kini boleh didengari di seluruh digital platform muzik antaranya, Spotify, Joox, Apple Music, KKBox dan Deezer.