PETALING JAYA – Akibat terlalu percayakan ahli keluarga, seorang lelaki telah disenaraihitamkan apabila anak saudaranya itu gagal melunaskan pinjaman yang dibuat dengan bank.
Kejadian itu berlaku, apabila Osman, 63, yang berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur telah menjadi penjamin kepada anak saudaranya dalam urusan pembelian sebuah kereta Perodua Kancil pada tahun 2007.
Menceritakan kembali kisah 14 tahun lalu itu, Osman yang bekerja sebagai kakitangan awam berkata, dia bersetuju menjadi penjamin kepada anak saudaranya yang dikenali sebagai Ali, 40, kerana atas dasar percaya.
“Dia (Ali) ketika itu baru berkahwin dan hanya bekerja sebagai tukang rumah. Semasa mahu membeli kereta itu, bank telah menetapkan syarat dia kena menyediakan seorang penjamin kerana tidak mempunyai penyata gaji.
“Ali datang merayu supaya saya menjadi penjaminnya, masa itu dia janji dengan saya akan membayar ansuran kereta itu setiap bulan tanpa gagal. Memandangkan dia pun anak saudara saya, saya bersetuju,” katanya kepada Kosmo!.
Ceritanya lagi, ketika itu, kereta tersebut dibeli pada harga RM25,000 melalui pinjaman dengan sebuah bank tempatan.
“Selama dua tahun, Ali telah membuat bayaran ‘cantik’, tiada tunggakan, namun selepas dia berpindah ke daerah lain dan bertukar tempat kerja, pembayaran pinjaman mula tertunggak.
“Dari tertangguh sebulan, kemudiannya tiga bulan dan akhirnya dia terus ‘culas’ untuk membayar pinjaman. Saya pun buat tak tahu kerana ketika itu saya fikir saya hanya penjamin dan tidak dikenakan apa-apa tindakan,” katanya.
Namun, masalah mula timbul apabila saya ingin membuat pinjaman di bank pada 2012 apabila permohonan saya ditolak kerana telah disenaraihitamkan kerana mempunyai ‘hutang’.
Nasib sama juga dilalui oleh seorang peniaga dikenali sebagai Khairul, 45, yang turut disenarai hitam kerana sikap cuainya tidak menukar nama semasa urusan penjualan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Katanya, dia terpaksa menjual sebuah kenderaan tersebut untuk dijadikan modal perniagaan kerana dia sebelum ini adalah seorang kontraktor.
“Kereta itu saya beli sekitar tahun 2015 dan menjualnya pada tahun 2018 kepada seorang kenalan secara sambung bayar dan kereta itu masih lagi atas nama saya kerana percayakan rakan saya itu,” jelasnya.
Katanya, dia disenaraihitamkan oleh bank selagi tidak menyelesaikan baki hutang kenderaan terbabit berjumlah lebih RM50,000.
“Bank telah menstrukturkan balik pinjaman saya, saya perlu selesaikan baki hutang saya itu terlebih dahulu sebelum saya layak membuat pinjaman lain selain berdepan bankrap,” katanya.
Berdasarkan statistik terkini daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) seramai 292,447 individu telah diisytiharkan bankrap di seluruh negara sehingga Jun lalu.