PEMAIN perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia percaya kekuatan mental serta fokus menjadi kelebihan buatnya ketika menewaskan jaguh No.1 dunia dari Jepun, Kento Momota pada separuh akhir Piala Sudirman 2021 awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Anergia Areena, Finland itu, Zii Jia menyumbang mata tunggal Malaysia ketika tewas 1-3 kepada Jepun selepas menang 22-20, 21-19 ke atas Momota.
Dia yang turun ketika pasukan negara ketinggalan 0-2 mengakui sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental kerana tidak mahu tewas dua kali berturut-turut kepada Momota pada kejohanan tersebut.
“Pertama sekali, memang saya fikir perlu bersedia sepenuhnya dari segi mental sebelum bertemu Momota kerana ia akan jadi perlawanan sukar memandangkan dia sudah kembali menemui sentuhan dan keyakinan.
“Saya juga fikir tidak mahu kalah kepadanya dua kali berturut-turut selepas tewas dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, jadi saya tidak sia-siakan peluang tersebut,” kata Zii Jia sejurus tamat perlawanan semalam.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu menewaskan Momota dalam lapan perlawanan selepas melakukannya sebelum ini pada suku akhir kejohanan Seluruh England (All England) Mac lalu.
Pada masa sama, Zii Jia yang juga kapten pasukan pada saingan Piala Sudirman kali ini mengakui bangga dengan prestasi yang ditampilkan rakan sepasukan sehingga mara ke separuh akhir biarpun dibarisi rata-rata pemain muda.
“Sebenarnya, saya tidak jangka kami boleh bermain seperti ini terutama Hoo Pang Ron-Cheah Yee See ketika bertemu Indonesia. Sebagai kapten pasukan, saya bangga dengan prestasi kami,” ujarnya.
Selepas ini, pasukan negara akan berangkat ke Aarhus, Denmark bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 17 Oktober ini.