Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
ALOR GAJAH – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengakui kecewa dengan tindakan empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan yang berpaling tadah, memandangkan hubungannya dengan mereka adalah sangat baik.
ADUN Lendu itu berkata, beliau tidak pernah menolak sebarang permintaan dibuat rakan-rakannya itu, tambahan pula tiga daripadanya merupakan ecxo kerajaan negeri.
Sulaiman menjelaskan, setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri dicapai secara konsensus.
Katanya, kesemua exco menunjukkan komitmen tinggi semasa Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang berlangsung minggu lalu dan tiada sebarang isu ditimbulkan ketika itu.
“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan empat exco berkenaan. Apa sahaja yang dipinta akan saya laksanakan sebaiknya.
“Apabila ada sesuatu keputusan yang melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka, saya akan bertanya terlebih dahulu sama ada mereka bersetuju atau tidak.
“Jadi apa yang diperkatakan ada campur tangan luar adalah tidak benar. Semua diputuskan secara bersama,” katanya ketika sidang akhbar di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini. -K! ONLINE.