LANDSKAP industri hiburan hari ini semakin berbeza. Dalam tempoh 10 tahun sahaja, banyak perkara yang sudah berubah.
Perubahan tersebut banyak dipengaruhi oleh kewujudan lambakan platform media sosial dan antara yang paling popular sudah pastilah Instagram, TikTok dan YouTube.
Bahkan, pelaporan berita turut berubah caranya apabila rata-rata anak seni tanah air memilih untuk berkongsi segala aktiviti mahupun membuat pengumuman rasmi dalam akaun media sosial mereka.
Kini, boleh dikatakan sebarang pendedahan mahupun pengumuman seperti tarikh perkahwinan atau kelahiran pasti didedahkan dalam akaun media sosial masing-masing berbanding secara eksklusif seperti yang berlaku pada 10 tahun lalu.
Sedikit demi sedikit nilai eksklusif itu direntap daripada pengamal media arus perdana oleh lambakan media sosial hari ini.
Jika hendak dibandingkan seperti cara kerja 10 tahun lalu, segelintir selebriti akan memilih media cetak atau media elektronik pilihan mereka untuk membuat sebarang pengumuman rasmi seperti tarikh perkahwinan.
Sebagai pengamal media, kebergantungan segelintir selebriti tanah air terhadap media cetak khususnya sedikit menurun, barangkali kerana mempunyai platform yang lebih pantas dan dekat dengan peminatnya iaitu media sosial.
Malah, media arus perdana hari ini juga sering ‘mengutip’ cerita-cerita artis daripada akaun media sosial mereka. Kendatipun mereka memuat naik sepotong ayat, itu juga boleh dijadikan bahan berita.
Menurut penyanyi Naim Daniel, kebergantungannya terhadap pelaporan berita menerusi penulisan wartawan daripada media arus perdana masih lagi sama seperti dahulu.
“Sebagai seorang yang membesar dalam industri dengan media arus perdana, saya tak pernah menafikan kepentingannya untuk perjalanan karier saya sejak kecil.
“Saya masih percaya dengan kuasa media arus perdana hari ini,” katanya.
Katanya, perubahan landskap pergantungan golongan selebriti terhadap media arus perdana kepada dunia digital merupakan evolusi yang perlu diperakui oleh semua pihak.
“Dunia sudah berubah dan cara bekerja juga mengikut peredaran zaman.
“Namun, dunia digital membantu mengembangkan lagi kerjaya kami,” ujarnya lagi.
Pesan Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, setiap anak seni juga perlu menghormati cara pengamal media untuk mendapatkan berita.
“Apapun, setiap selebriti perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pengamal media.
“Semua perkara perlukan kerjasama dan bila ada cerita yang ditulis mengenai kita, itu juga cara untuk kelangsungan karier seorang anak seni,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Didie Alias berpendapat seorang selebriti perlu bijak menggunakan media arus perdana dan dunia digital secara seimbang.
“Sebagai selebriti lama, media arus perdana antara yang telah membantu saya untuk berdiri dalam industri sehingga hari ini.
“Tetapi zaman berubah dan saya juga perlu menggunakan media sosial sebaik mungkin kerana platform itu lebih mendekatkan saya dengan peminat,” katanya.
Akui Didie, nilai eksklusif sebuah berita tentang mana-mana selebriti juga sudah semakin kurang kerana kebanyakan mereka memilih untuk menggunakan media sosial.
“Barangkali ramai yang nak sesuatu yang lebih cepat.
“Kita ikut peredaran zaman tetapi tidak bermakna saya melupakan jasa media cetak yang banyak menyokong kerjaya selama ini,” ujarnya.