PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan Fasa Satu Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya dijangka memulakan operasinya dalam tempoh dua bulan lagi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ketika ini, Fasa Satu itu kini hampir 99 peratus siap.
Beliau berkata, Fasa Satu MRT yang bermula dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu bakal beroperasi pada November depan.
“Apabila Fasa Satu bermula, rangkaian pengangkutan awam rel Lembah Klang akan diperluas dengan sembilan buah stesen baru.
“Ini akan meningkatkan liputan ke kawasan baru seperti Damansara Damai, Bandar Sri Damansara, Kepong, Jinjang dan Kampung Batu,” katanya ketika melakukan lawatan ke tapak MRT Putrajaya hari ini.
Ka Siong juga mengesahkan bahawa kemajuan kerja bawah tanah bagi Fasa Dua MRT Laluan Putrajaya kini sedang berjalan lancar dengan tahap kemajuan keseluruhan pada 93.52 peratus.
Beliau berkata, ketika ini, kerja-kerja infrastruktur utama seperti terowong, stesen dan struktur lain sudah siap manakala, perkhidmatan bangunan, kemasan seni bina dan landskap sedang disiapkan.
Menurutnya, beliau amat berbesar hati melihat tahap kemajuan ini dan yakin Fasa Dua Laluan Putrajaya ini dapat mula beroperasi seperti yang disasarkan pada Januari 2023. – K! ONLINE.