fbpx

Enam maut askar bertempur dengan pemisah di selatan Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA petugas menyiapkan jenazah seorang pejuang pemisah yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Thai di Daerah Yi Ngo, wilayah Narathiwat pada semalam. - AFP

BANGKOK – Pertempuran enam hari antara askar dan pejuang pemisah di selatan Thailand meragut enam nyawa, kata pihak tentera hari ini ketika pasukan tentera memburu kumpulan pemberontak yang bersembunyi di kawasan hutan paya.

Tiga wilayah paling selatan di Thailand bergolak selama 17 tahun dan menyebabkan lebih 7,000 orang terbunuh, kebanyakannya penduduk awam apabila kumpulan-kumpulan pemisah berjuang untuk mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi dari Bangkok.

Ketumbukan Rantau Keempat Tentera Thai yang mengawasi wilayah-wilayah selatan menyatakan bahawa pasukan tentera bertempur dengan kumpulan pemisah di wilayah Narathiwat sejak 28 September lalu.

Pasukan keselamatan mengepung sebuah hutan paya pada Selasa minggu lalu selepas menerima maklumat bahawa kumpulan pemberontak bersembunyi di sana, kata jurucakap markas selatan, Kolonel Keattisak Neewong.

“Kami kehilangan askar pertama kami dalam pertempuran bersenjata pada Selasa minggu lalu.

“Kami terus berunding dengan mereka sejak hari pertama dengan bantuan pemimpin-pemimpin agama tempatan tetapi mereka menolak dan terus melepaskan tembakan,” katanya.

Menjelang pagi Ahad lalu, kumpulan pemberontak itu cuba melepaskan diri sekali gus mencetuskan pertempuran bersenjata yang mengakibatkan empat pejuang pemisah dan seorang askar terbunuh.

Keattisak berkata, sebilangan pejuang pemisah masih bersembunyi di dalam hutan tersebut. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI