KUALA TERENGGANU – Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim tetap akan disiasat berhubung kenyataannya berbaur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S.Kisona biar pun sudah meminta maaf.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sudah ada laporan (terhadap Borhanuddin) telah dibuat di balai polis seluruh negara dan polis akan menyiasat.
“Saya berasa amat dukacita apabila seorang pemimpin politik (Borhanuddin) bercakap tentang perkauman dan saya menasihatkan yang lain supaya jangan melakukan perkara (perkauman) seperti ini,” katanya katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Borhanuddin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung status di Facebook berbaur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S.Kisona yang mendapat kecaman ramai.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran berbaur perkauman yang ditulis pemilik akaun Facebook, Borhan Che Rahim terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun pada aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland pada kelmarin.
Begitupun, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu memberitahu,isu melibatkan Borhanuddin dianggap selesai bagi peringkat parti politiknya apabila dia sudah meminta maaf dan sanggup meletakkan jawatannya sebagai Naib Ketua Bersatu Bahagian Pasir Puteh.
Jelas beliau, tindakan Borhanuddin memohon maaf dan meletakkan jawatan amat dihargai dan ia menunjukkan dia sudah sedar dengan kesilapan dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. – K! ONLINE