fbpx

‘100 peratus jualan tiket untuk mangsa banjir Sabah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Konsert Amal Unplugged Azharina & Friends akan berlangsung pada 23 Oktober nanti.

PETALING JAYA – Dalam usaha meringankan beban golongan memerlukan, Juara Gegar Vaganza (GV) musim ketiga, Azharina Azhar terpanggil untuk menganjurkan sebuah konsert amal secara dalam talian pada 23 Oktober nanti.

Menurut Azharina, dia berasakan sudah tiba masanya memberikan sesuatu bermanfaat kepada masyarakat terutama yang bergelut dan memerlukan bantuan ketika berdepan era pandemik ketika ini.

“Konsert ini bertujuan membantu mangsa banjir di Sabah khususnya di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

“Di samping itu, sumbangan ikhlas yang diterima menerusi penganjuran konsert ini juga akan disalurkan 100 peratus kepada mereka yang terjejas kerana pandemik.

“Walaupun tidak banyak, tetapi sedikit pertolongan kita ini mampu meringankan beban mereka yang memerlukan pada saat ini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelantun lagu Elegi Sepi yang mesra disapa Nina itu berharap konsert yang dianjurkan menjadi titik tolak permulaan yang baik untuk semua bergelar anak seni.

“Selaku anak seni, saya mengharapkan industri hiburan kita kembali rancak dan bernafas selepas hampir dua tahun terjejas disebabkan pandemik.

“Begitu juga yang diharapkan dengan kerjaya seni saya dan rakan-rakan artis lain,” katanya lagi.

Azharina bakal berkongsi pentas dengan barisan artis lain seperti Ayu Damit, Lan Solo, Syura, Dia Fadila, Bob Yusof, Fanzi Ruji, Kozae, Santiana, Rosario, Dabre Sia, Yunk G, Nadeem dan Vicha Barbie.

“Saya sendiri akan menyanyikan lagu sendiri dan akan berduet dengan artis lain juga. Secara keseluruhan ada sekitar 16 lagu untuk tempoh dua jam itu nanti,” ujarnya yang menyatakan tiket konsert dijual pada harga RM25.

“Konsert ini akan dipancarkan menerusi aplikasi Zoom kepada pembeli tiket. Malah pembeli tiket konsert ini juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

“Mereka juga layak membuat undian mengenai lagu apa yang bakal saya nyanyikan pada konsert itu nanti.

“Kita hanya jual 1000 tiket saja dan berdasarkan siapa cepat dia dapat,” katanya.

Untuk urusan pembelian tiket boleh terus ke Instagram @azharina_a atau menerusi Facebook rasmi Azharina Azhar.

Konsert Amal Unplugged Azharina & Friends terbitan syarikat Azharina Entertainment itu turut mendapat kerjasama Azharina Angels, Kacang Network dan Pertubuhan Kebajikan Persaudaranman Elit Jaz Malaysia (ECJ Cares).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI