SHAH ALAM – Hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, ketetapan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2021 yang bersidang pada 9 Februari lalu dan turut diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, berdasarkan fatwa berkenaan, beberapa perkara perlu difahami oleh masyarakat di mana hukum harus kepada orang awam adalah merujuk kepada pilihan sendiri sama ada ingin mengambilnya atau tidak.
“Manakala hukum wajib pula merujuk kepada kemestian tanpa sebarang pilihan yang memberi implikasi berdosa jika tidak mengambilnya ke atas golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kerajaan adalah bermaksud kerajaan Malaysia, kerajaan negeri atau ketua agama negeri termasuk pihak berkuasa yang dilantik,” katanya kenyataan di sini.
Justeru, Anhar menjelaskan berdasarkan penjelasan fatwa berkenaan, sesiapa yang telah ditetapkan oleh Uli al-Amri (pemerintah) bagi mengambil vaksin Covid-19 adalah wajib untuk mendapatkannya.
“Ini termasuk semua guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid (AJK) dan Surau dan Penolong Pendaftar Nikah di negeri ini dan seumpamanya,” jelasnya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929