VILNIUS, LITHUANIA – Sepasukan doktor di Lithuania berjaya mengeluarkan lebih satu kilogram paku dan skru dari perut seorang lelaki yang didakwa menelan objek tersebut bagi menghilangkan ketagihan terhadap minuman beralkohol, lapor akhbar Arab News kelmarin.
Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu dimasukkan ke sebuah hospital di bandar pelabuhan Klaipeda akibat sakit perut yang teruk.
Hasil imbasan x-ray pada perutnya menunjukkan terdapat beberapa kepingan logam di mana ada antaranya yang berukuran 10 sentimeter (sm).
“Dalam pembedahan selama tiga jam, kesemua objek asing termasuk yang bersaiz kecil telah dikeluarkan dari dalam perut lelaki itu,” kata doktor pakar bedah, Sarunas Dailidenas.
Sementara itu, Ketua Pakar Bedah Hospital Klaipeda, Algirdas Slepavicius berkata, pesakit berkenaan mula menelan objek logam sejak lebih sebulan lalu selepas dia berhenti mengambil minuman keras.
“Kami belum pernah melihat sesuatu yang seperti itu,” ujarnya.
Lelaki berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – AGENSI