PORT DICKSON – Orang ramai yang beriadah di pantai peranginan di sini terkejut apabila melihat sekumpulan anak penyu karah tiba-tiba keluar dari sarangnya dan menuju ke laut di Bagan Pinang di sini semalam.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, anak penyu itu dipercayai baru menetas sebelum ditemui orang ramai pada pukul 11 pagi.
Katanya, orang awam kemudian mengutip 46 ekor anak penyu yang masih hidup dan dilepaskan ke laut.
“Tindakan itu amat terpuji dalam usaha segera menyelamatkan mereka. Sebaik mendapat maklumat, kami bersama salah seorang Pemungut Telur Penyu Berdaftar, Hishamudin Abd. Manap, telah menjalankan pemeriksaan terhadap sarang tersebut dan menjumpai dua ekor anak penyu yang mati dalam pasir.
“Turut ditemui 48 biji telur yang masih belum menetas. Semua telur seterusnya dibawa ke Glory Beach Resort untuk diperamkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929