JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperhalusi bentuk bantuan kebajikan sesuai bagi meringankan beban pegawai dan anggota yang memiliki hutang tinggi.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bentuk bantuan ini masih lagi dalam peringkat kajian dan akan melibatkan mereka yang masih bertugas atau sudah bersara.
“Bentuk kebajikan ini melibatkan dua iaitu pesara polis dan anggota asnaf (masih bertugas), selalunya anggota yang asnaf ini adalah mereka yang terlibat dalam keberhutangan yang tinggi.
“Sebagai contohnya anak nak pergi belajar dia pergi berhutang atau pun berlaku perkara musibah sakit dan sebagainya dia berhutang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mazlan berkata, perkara itu akan dilaksanakan dengan teliti dan serius agar mereka yang berhutang tinggi tidak terjebak dengan perkara tidak diingini.
“Kita kena perhalusi betul-betul sebab apa ada yang berhutang tidak sepatutnya beli kereta besar betul benar memerlukan.
“Apabila sudah berhutang gaji mereka jadi kecil, kita kena lihat dari segi kebajikan mereka supaya kita boleh menyantuni mereka, mereka bertugas dalam keadaan sensitif, jadi kita tidak mahu perkara tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Terdahulu, Mazlan menyampaikan sumbangan kebajikan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWF) kepada 20 pesara bagi kontinjen Johor.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929