PETALING JAYA- Orang ramai kini boleh melaporkan sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dilakukan individu atau premis kepada pihak berkuasa menerusi aplikasi MySejahtera tidak lama lagi.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran Facebooknya berkata, aduan pelanggaran SOP itu boleh dibuat orang ramai di butang ‘Aduan’ MySejahtera apabila ia diaktifkan nanti.
“Orang ramai boleh membuat aduan seperti pelanggaran SOP untuk individu yang tidak memakai topeng muka atau gagal mematuhi jarak fizikal.
“Bagi pengendali premis, pelangaaran SOP itu termasuklah kegagalan merekod pelawat atau memeriksa suhu badan,” katanya tadi.
Menurut KKM, antara aduan pelanggaran SOP lain yang boleh dibuat termasuklah pelanggaran perintah kuarantin dan isu-isu terlibat lain.
“Menerusi kemudahan baharu yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat ini, pengadu juga boleh memuatnaik gambar sebagai bukti aduan pelanggaran SOP,” jelasnya.
Dalam pada itu, orang ramai turut menyambut baik kemudahan butang aduan itu dengan menyifatkan lebih mudah untuk membuat sebarang laporan berhubung kegagalan mematuhi SOP.
“Bagus juga, balik-balik memekak di media sosial, mengadu sana sini apabila langgar SOP, sekarang lapor sendiri, lebih senang,” kata @Nazarudin Jawahir.
“Harap aduan yang dibuat bukan sahaja untuk rakyat biasa, tetapi semua termasuk ahli politik, kalau langgar SOP, tindakan perlu dikenakan,” tegas @Dedayah Melur. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929