PELUMBA pasukan Tuneboss-Pink Racing, Muhamad Harith Farhan Baharin terus menampilkan aksi cemerlang apabila menamatkan perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2021 semalam di tempat keempat.
Pada perlumbaan kategori CP125 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu itu, Harith yang memulakan saingan di petak kedua sedikit ke belakang apabila bermula dengan agak perlahan.
Bagaimanapun, pelumba berusia 22 tahun itu tidak berputus asa dan terus memintas seorang demi seorang pelumba di hadapan sehingga mampu bersaing dengan kelompok hadapan.
Biarpun sedikit kecewa tidak dapat menamatkan perlumbaan di laman sendiri di kedudukan podium, namun Harith tetap berpuas hati dengan tunggangan yang ditampilkan pada perlumbaan tersebut.
“Ada sedikit kecewa tak dapat podium tetapi saya tetap puas hati dengan keputusan perlumbaan hari ini (semalam). Semasa awal perlumbaan, saya agak perlahan dan dihimpit sehingga terperosok ke posisi belakang.
“Trek ini sebenarnya sangat sukar untuk memintas kerana kecil dan sangat teknikal. Walaupun menamatkan perlumbaan di tempat keempat, namun saya tetap berpuas hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu, Harith juga percaya perlumbaan semalam memberikannya keyakinan untuk mengharungi perlumbaan pusingan keenam yang turut berlangsung di litar sama hari ini.
Pada perlumbaan semalam, pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing, Mohd. Adib Rosley muncul pemenang, manakala Mohd. Syafiq Rosli dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor di tempat kedua diikuti pelumba Moto1 Koyoko Honda KC Racing, Mohd. Firdaus Hamdan.