fbpx

Calon STPM semangat kembali semula ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Haziq Firdaus (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya sebelum masuk ke kelas untuk mengikuti sesi pembelajaran di SMK Wakaf Bharu, Tumpat hari ini. - Foto oleh YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT – Pelajar tingkatan enam atas yang bakal menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dilihat bersemangat kembali semula ke sekolah selepas kerajaan membenarkan pembelajaran secara bersemuka bermula hari ini.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Muhammad Haziq Firdaus Hafiz,19, berkata, peluang dapat belajar secara bersemuka akan dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan itu nanti.

Menurutnya, pengajian secara bersemuka itu membuatkan dia lebih bersemangat dan selesa untuk mengikuti pengajian berbanding Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya sukar untuk mengikuti PdPR bagi sesetengah mata pelajaran yang diajarkan oleh guru-guru selain berdepan dengan masalah capaian internet rendah.

“Apabila dapat bersemuka, saya dapat membuat pertanyaan secara terus jika tidak faham berkaitan dengan satu-satu mata pelajaran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Haziq yang sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 memberitahu, dia tidak mempunyai masalah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika ini.

Tinjauan Kosmo! di SMK Wakaf Bharu mendapati rata-rata pelajar mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, mengimbas aplikasi MySejahtera dan memeriksa suhu badan sebelum melangkah masuk ke dalam sekolah. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI