fbpx

Anak seronok ke sekolah, ibu bapa bimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASNIEZA mengajar anaknya, Annur Aleena Isma Izzuddin memakai pelitup muka sebagai persiapan sebelum ke sekolah di Langkawi semalam.

LANGKAWI – Sebilangan ibu bapa di sini menyuarakan kebimbangan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang akan dibuka secara berperingkat mulai hari ini.

Namun ramai murid pula se­perti tidak sabar untuk kembali ke sekolah setelah ikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama hampir setahun.

Seorang ibu, Noremee Hamid, 42, menyatakan dia berasa ber­belah bahagi untuk menghantar anak lelakinya, Ahmad Hadiff Abdul Shukor, 7, yang bersekolah Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka di sini.

Menurutnya, anaknya akan ke sekolah mengikut sistem penggiliran bermula 17 Oktober nanti.

“Saya juga bimbang anak saya akan tercicir sekiranya tidak menghantarnya ke sekolah nanti memandangkan cuti yang terlalu lama sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi ibu, Siti Hajar Yusup, 31 berkata, dia sudah bersedia untuk menghantar anaknya yang bersekolah di Pra Sekolah di SK Padang Matsirat kembali ke sekolah.

“Dulu anak saya sudah boleh mengeja, tetapi sekolah tutup selama hampir enam bulan, dia sudah lupa apa yang dipelajarinya.

“Memang risau untuk hantar dia ke sekolah, tapi pihak sekolah ada membuat sesi taklimat SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi ibu bapa dan murid,” katanya.

Seorang lagi ibu, Asnieza Harun, 28, yang menghantar anaknya ke Pusat Anak Genius Negara (PAGN) Langkawi berkata, anaknya, Annur Aleena Isma Izzuddin, 3, sudah seminggu hendak pergi ke sekolah apabila melihat persiapan pembukaan sekolah di televisyen.

“Sebab saya tidak bekerja, PAGN buat penggiliran untuk menghantar anak seminggu sekali,” jelasnya.

RADZI melihat keadaan sekitar kelas ketika lawatan ke salah sebuah sekolah di Kuala Terengganu semalam.

Dalam pada itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjamin keselamatan para guru dan murid di sekolah.

Presidennya, Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pe­ngurusan dan pengoperasian sekolah bermula hari ini dilihat merangkumi semua yang berkaitan perjalanan persekolahan semasa pandemik mahupun endemik kelak.

Justeru, katanya, pembukaan semula sekolah diharap berjalan lancar, teratur, terkawal dan menyeronokkan kepada guru, pelajar mahupun ibu bapa atau penjaga.

“Kawalan murid semasa dan selepas sekolah dengan 50 peratus kehadiran murid yang dibantu oleh pihak penguasa dan sukarelawan, kawalan waktu makan, aturan di makmal, bilik air, tempat solat dan lain-lain dirasakan mencukupi.

“Kesiapsiagaan persekitaran bersih dan dijaga rapi, majoriti guru telah divaksin, pelajar yang ambil peperiksaan pun telah divaksin, pelaksanaan dan pemantauan ketat SOP serta disip­lin diri warga pendidik tentunya sekolah adalah selamat dan mampu kembalikan keceriaan serta semangat pelajar menimba ilmu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI