MEMASUKI Oktober, sekali gus berbaki dua bulan untuk menyudahkan 365 hari yang cukup melelahkan dari pelbagai aspek, penyanyi rap sensasi, Caprice tampil membuat laporan polis.
Laporan polis dibuat pemilik nama lengkap Ariz Ramli itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur lewat malam Jumaat.
Tiada perincian didedahkan berhubung laporan berkenaan, namun berdasarkan pengalaman yang dilalui, bertitik tolak daripada misi kemanusiaan Gaza, Palestin tiga bulan lepas, orang ramai pasti boleh meramalkan motif terkini tindakan Caprice.
“Sejujurnya, saya tak nak pun buat laporan polis ini. Sebenarnya, saya lagi mahu meletakkan fokus, energi dan usaha terhadap perniagaan serta kehidupan.
“Tetapi, sesetengah individu di luar sana merasakan ‘cable’, pangkat mereka terlampau kuat dan tinggi. Mereka rasa lagi hebat daripada undang-undang,” katanya.
‘Ibu bapa kakitangan kerajaan’
Yakin berada dalam kelompok benar dan bukan pendusta, Caprice sekali lagi memaklumkan ibu dan bapanya merupakan kakitangan kerajaan. Sekadar informasi, bapanya bekerja di pejabat kedutaan atau Wisma Putra.
“Biar saya ingatkan, ibu bapa saya kakitangan kerajaan. Saya tahu saya budak nakal, saya tidak nafikan perkara itu, tapi saya ada impian untuk jadi macam ibu bapa. Saya mahu berbakti kepada negara, insya-Allah.
“Sejak tujuh tahun lalu, saya dah berjuang untuk membersihkan kekurangan dalam ummah.
“Mungkin nampak pelik untuk lelaki macam saya, seorang penyanyi rap, berjuang untuk ummah. Saya faham,” getusnya.
Biarpun sering disalah erti disebabkan kelantangan mulutnya menegur pelbagai perkara, termasuk gaya pemakaian tidak melambangkan orang yang ingin dekat pada agama, lelaki itu memberi hujahnya tersendiri.
Usaha bersihkan ummah
Katanya, dia berusaha tanpa mengenal erti penat lelah dalam memberi kesedaran kepada orang ramai terutama generasi muda.
“Saya pernah bentang kertas kerja kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), satu program ‘Lepak Masjid’ setiap malam Jumaat bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi.
“Untuk elak anak muda kita pergi bar, kelab malam. Setiap minggu akan ada ceramah yang menarik, ada bazar dan macam-macam lagi.
“Alasan saya maklumkan perkara ini, ramai generasi muda yang menghakimi saya hanya dengan baju saya saya pakai, penampilan diri dan sebab saya menyanyi rap,” katanya lagi.
Apa pun hujah yang cuba dileraikan saban waktu, satu Malaysia sebenarnya sedang menunggu kesudahan konflik melibatkan Caprice dan penceramah terkenal yang masih disiasat polis ketika ini.
Ketika kebenaran belum terungkai dan keghairahan sama ada Caprice atau pihak lawan bergendang mahu membuktikan siapa benar dan siapa salah, perpaduan ummah harus menjadi obor perjuangan.