fbpx

50 syarikat bas persiaran terima notis mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE Ibrahim (kanan) memberikan penerangan kepada ahli jawatankuasa PPBBM mengenai kos penyelenggaraan melibatkan sebuah bas ekspres miliknya di Panji, Kota Bharu hari ini. FOTO : YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU – Lebih 50 syarikat bas persiaran di negara ini menerima notis mahkamah akibat tunggakan hutang selepas tidak dapat meneruskan operasi seperti biasa sejak lebih tahun lalu.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputra Malaysia (PPBBM), Che Ibrahim Che Ismail berkata, tunggakan tersebut disebabkan oleh syarikat membuat pinjaman kredit semasa menjalankan perniagaan mereka sebelum pandemik Covid-19.

Menurutnya, PPBBM memohon kerajaan mempercepatkan bantuan atau pinjaman kepada semua pemain industri pengangkutan ini supaya dapat kembali bernafas.

“Kantung kewangan kebanyakan pengusaha bas sudah tidak lagi mampu untuk menampung kos baik pulih pengangkutan itu apabila dibenarkan kembali beroperasi selepas ini.

“Kos penyelenggaraan bagi sebuah bas ekspres dan persiaran dianggarkan berjumlah RM10,000 hingga RM15,000. Bagi bas sekolah pula ia menelan belanja sebanyak RM8,000,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama PPBBM di Panji hari ini.

Che Ibrahim memberitahu, pihaknya juga memohon agar kerajaan meneruskan langkah gelembung pelancongan dengan mewajibkan individu atau kumpulan menggunakan perkhidmatan bas persiaran.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pengusaha perkhidmatan pengangkutan tersebut tidak terus gulung tikar akibat pandemik Covid-19 selain menggalakan orang ramai patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Dalam perkembangan lain, Che Ibrahim berkata, pihaknya turut berharap kerajaan dapat melanjutkan lagi moratorium untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) semalam enam bulan untuk pengusaha bas sekolah. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI