TUMPAT – Seramai 10 orang lelaki termasuk seorang remaja dicekup ketika mereka sedang menyabung ayam di kawasan hutan di Kampung Bembam, Jubakar di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 8.30 malam itu, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 13 hingga 47 tahun termasuk lima ekor ayam laga yang digunakan dalam kegiatan tersebut turut dirampas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, polis menjalankan serbuan di kawasan itu selepas menerima maklumat mengenai kegiatan tersebut yang dijalankan kira-kira dua kilometer dari jalan besar dekat Simpangan di sini.
Katanya, siasatan awal mendapati, kegiatan tersebut telah dijalankan di lokasi itu sejak setahun lalu apabila ia beroperasi pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.
“Kegiatan perjudian mereka ini dipercayai bermula pada pukul 5.30 petang sehingga lewat malam bergantung kepada keadaan ayam laga yang menjadi taruhan dalam setiap perlawanan.
“Kesemua suspek yang ditahan itu dari daerah Pasir Puteh, Tumpat, Kota Bharu, Kuala Krai dan Machang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Wan Khairuddin, siasatan mendapati, nilai pertaruhan bagi menyabung ayam dalam setiap pertarungan antara RM500 hingga RM1,000.
Ujarnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk kelambu, taji, tiga kotak kayu, kanvas besar dan gelung getah.
“Selain itu, polis turut menjumpai wang tunai sebanyak RM2,571 yang dipercayai digunakan sebagai pertaruhan.
“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Binatang 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. -K! ONLINE.