fbpx

Varian baharu Covid-19 licik tipu sistem imuniti manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar keadaan kanak-kanak yang dikongsi di laman Facebook Dr Hana.

PETALING JAYA – Seorang pengamal perubatan menyifatkan varian Covid-19 baharu semakin licik menipu sistem imuniti manusia termasuk kanak-kanak dengan tiada sesiapa dapat memberi jaminan golongan umur mana lebih kebal berdepan ancaman wabak tersebut.

Pakar bius dikenali sebagai Dr. Hana Hadzrami berkata, begitupun, ramai ibu bapa sangat risau mengenai risiko kesan sampingan vaksin kepada anak-anak mereka terutamanya radang jantung.

“Kalau bukan kerana pandemik, tiada siapa mahu ambil vaksinasi Covid-19. Tetapi jika terkena Covid, jangan cakap boleh dapat radang jantung seluruh organ tubuh boleh mengalami radang teruk.

“Risiko MIS-C (Sindrom keradangan multisistem dalam kalangan kanak-kanak) adalah sangat mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

Menurut Ahli Medical Mythbusters Malaysia itu, terdapat beberapa kes pesakit kanak-kanak di negara ini mengalami simptom demam dan sakit perut yang pada peringkat awal disangka radang apendiks.

“Sebaik sahaja dirawat apendisitis pesakit menjadi semakin tidak stabil mengalami tekanan darah rendah beserta kegagalan organ sehingga terpaksa dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Di hospital bersebelahan kami saja ada empat kes pasca Covid-19 kanak-kanak di ICU yang masih perlu bergantung kepada mesin pernafasan,” jelasnya.

Beliau turut meminta masyarakat membayangkan situasi sekiranya golongan berkenaan mendapat kesan jangka panjang atau long Covid-19 seperti sesak nafas, sakit kepala, pelupa dan ekzema.

“Bagaimana mereka hendak belajar dan membesar dengan sihat? Saya rela ambil risiko kecil sebagai ikhtiar demi mengelakkan musibah yang lebih besar. Siapa yang tidak sayangkan anak. Usaha, doa, tawakal.

“Tiada ibu bapa yang waras sanggup meyatimkan anak sendiri. Atau mengebumikan anak sendiri. Lindungi diri, lindungi anak,” tulisnya.

Hantaran itu mendapat lebih 2,400 tanda suka selain ada dalam kalangan pembaca turut berkongsi kisah insan di sekeliling mereka terdiri daripada golongan muda mendapat simptom yang teruk selepas dijangkiti Covid-19.

“Maghrib tadi (semalam) baru dapat berita tentang pelajar saya berusia 15 tahun perlu ditidurkan sebab Covid-19. Sepatutnya minggu depan giliran pelajar sekolah saya untuk divaksin,” komen Mahirah Ahmad Helmi.

“Radang usus. Rasanya kawan dapat simptom ini semasa dia positif Ogos lepas. Tiada simptom Covid-19 tetapi dia rasa sakit perut beberapa hari dan makin teruk dan selepas rujuk pakar dia disahkan positif,” ujar Nurnadhira Aznan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI