MANCHESTER – Keputusan pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer merehatkan penyerang utama, Cristiano Ronaldo membawa padah selepas pasukan itu diikat seri 1-1 ketika bertemu Everton sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Old Trafford itu, Solskjaer memberi kepercayaan buat Anthony Martial dan Edinson Cavani untuk mengemudi jentera serangan pasukan dengan dibantu oleh Mason Greenwood serta Bruno Fernandes.
Keputusan tersebut dianggap bijak apabila Cavani menunjukkan bisanya apabila hampir meledak gol pembukaan menerusi tandukan pada minit ke-21 tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Namun, asakan bertali arus yang dilakukan oleh skuad The Red Devils akhirnya membuahkan hasil apabila Martial meledak gol selepas menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Fernandes pada minit ke-43.
Bersambung pada babak kedua, skuad Everton mula memperkemaskan jentera serangan dalam usaha mencari gol penyamaan dan situasi yang sama dilakukan oleh Solskjaer dengan memasukkan Ronaldo untuk digantikan dengan Martial dalam memburu gol tambahan.
Namun, Everton yang dikendalikan oleh Rafael Benitez menunjukkan bisa selepas pemain sayap sensasi, Andros Townsend meledak gol penyamaan pada minit ke-65.
Skuad The Toffees terus mengasak dalam usaha mencuri tiga mata dan berjaya meledak gol pada penghujung perlawanan tetapi jaringan yang dilakukan oleh Yerry Mina dibatalkan kerana ofsaid oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
Keputusan tersebut menyaksikan United dan Everton meraih 14 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. – AGENSI
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929