PETALING JAYA – Ibu bapa yang bijak menabung boleh dianggap sebagai hero dalam konteks perancangan kewangan sekali gus menjadi contoh ikutan kepada anak-anak.
Menyedari hakikat itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan program Bulan Menabung SSPN 2021 (BMS) sempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
Menariknya, BMS 2021 membawakan tema baharu iaitu Galaksi dengan tagline Jom Jadi Superhero untuk mengajak ibu bapa menjadi hero kepada anak-anak menerusi amalan menabung agar mereka dapat melanjutkan pengajian tanpa berdepan masalah kewangan.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata BMS telah diperkenalkan sejak 2018 dalam usaha menjadikan produk Simpan SSPN sebagai pilihan tabungan utama masyarakat di samping menikmati keistimewaan yang disediakan.
“Program seumpama ini dilihat mampu menyampaikan maklumat dan memberi pendedahan mengenai perancangan kewangan serta memupuk amalan menabung dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak.
“Meskipun dunia dan negara masih dilanda pandemik Covid-19 ia bukan alasan untuk kita tidak menyemai semangat menabung selain kita wajar menggunakan kemudahan platform digital untuk merangka pelbagai inisiatif penabungan,” katanya pada pelancaran BMS 2021 secara maya hari ini.
Menurutnya, BMS 2021 yang diadakan sepanjang Oktober menyediakan pelbagai program untuk ibu bapa dan anak-anak antaranya Sembang Santai BMS 2021, Forum Cakna Kewangan, Detik Indah Bersama Si Manja selain program berbentuk pertandingan seperti Fotografi Simpan SSPN serta Simpan SSPN Got Talent.
PTPTN turut mengadakan program khas PTPTN Prihatin yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat melalui sumbangan zakat PTPTN berjumlah lebih RM500,000 dengan kerjasama pusat Zakat Negeri dan agensi kerajaan.
Lebih 5,000 penerima daripada golongan asnaf akan menerima sumbangan tunai berbentuk akaun Simpan SSPN Prime bertujuan memastikan golongan itu turut sama menikmati manfaat penabungan melalui Simpan SSPN dan memastikan masa depan pendidikan mereka lebih terjamin.
Dalam pada itu, PTPTN turut memperkenalkan Tabung Impian dengan tujuh karakter seperti angkasawan, bomba, jurutera, doktor, tentera, hakim dan juruterbang sebagai daya tarikan kepada masyarakat.
PTPTN menyasar jumlah simpanan sebanyak RM1.8 billion dengan 400,000 akaun baharu pada tahun ini dengan rekod sehingga Ogos 2021 telah menyaksikan pancapaian sebanyak 253,818 akaun baharu dengan jumlah deposit mencecah RM1.57 bilion. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929