TUMPAT- Seorang pelajar yang terpaksa menangguhkan pengajian akibat kemiskinan hanya mampu melinangkan air mata apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil membantu bagi menguruskan pengajiannya selepas kisah kesusahan keluarga tular sejak bulan lepas.
Wan Nur Atierah Wan Nasrom, 19, berkata, tiada kata yang dapat digambarkan apabila Perdana Menteri sanggup berbuat demikian kepadanya untuk membantunya dalam pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak selepas mendapat tawaran pada 24 September lepas.
Menurutnya, dia sudah nekad untuk menangguhkan pengajian ke UPSI kerana tidak cukup wang bagi menampung perbelanjaan ke sana.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh masyarakat setempat bahawa Perdana Menteri akan membantu menguruskan kemasukan saya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan yang bakal bermula pada 11 Oktober ini sehingga tamat pengajian selama empat tahun.
“Saya merasa bertuah dan bersyukur kerana mendapat perhatian daripada Perdana Menteri. Allah sahaja yang dapat menbalas jasa mereka semua,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bendang Pulau Palekbang di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Nur Atierah dikunjungi oleh Pegawai Khas Perdana Menteri, Wan Khairul Ihsan Wan Mohamad yang menyampaikan bantuan wang tunai kepadanya.
Dalam pada itu, remaja itu turut mengadakan sesi panggilan video dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd. Fazmi Sayid Mohamad selama beberapa minit.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kemiskinan keluarga Wan Nur Atierah sehingga dia tidak dapat melanjutkan pengajian ke UPSI.
Ekoran daripada itu, ramai individu yang prihatin dan menyalurkan bantuan kewangan meskipun hanya dengan RM1 untuk memastikan remaja itu dapat melanjutkan pelajarannya ke menara gading.
Mengulas lanjut, menurut anak kedua daripada tiga beradik yang juga bekas penuntut Kolej Matrikulasi di Arau, Perlis, dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.
Sementara itu, Wan Khairul berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada keprihatinan Perdana Menteri.
Katanya, urusan pengajian Wan Nur Atierah adalah menerusi Kementerian Pengajian Tinggi yang melibatkan pengecualian bayaran yuran pendaftaran dan pengajian untuk semester pertama di UPSI. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929