PUTRAJAYA – Video tular proses vaksinasi seorang remaja berusia 12 tahun disahkan berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) selepas seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah ambil satu picagari kosong dan membuat suntikan kepada penerima vaksin tersebut.
Dalam kejadian pukul 3.16 petang pada Khamis lalu, siasatan awal ProtectHealth mendapati petugas kesihatan itu tersalah ambil satu picagari kosong masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, petugas kesihatan itu telah mengikut prosedur ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos sepatutnya kepada ibu remaja tersebut.
“Setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, beliau meletakkan sebentar picagari itu di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.
“Bagaimanapun, beliau tersalah ambil picagari kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut. Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Azmi berkata, kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut dan setelah memahami penjelasan yang diberikan, mereka memberi kebenaran untuk diberikan suntikan vaksin kepada anaknya di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.
“Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan.
“Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terlibat di atas kesulitan yang berlaku. Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929