fbpx

Petugas tersalah suntik picagari kosong diberhenti tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan picagari kosong yang disuntik kepada individu tersebut

PUTRAJAYA – Petugas kesihatan (penyuntik) menyuntik seorang remaja 12 tahun menggunakan picagari kosong telah diberhentikan tugas memberi vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Malaya (PPVUM) serta-merta.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) meneliti laporan dan pihak Healthcare Organisation (HCO) dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. telah memberhentikan petugas tersebut.

“Kerajaan memandang serius insiden seperti ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi CITF-A memberitahu, CITF-A memutuskan untuk membenarkan sama ada ibu, bapa atau penjaga, menemani remaja yang mendapatkan vaksinasi sehingga ke stesen vaksinasi untuk melihat sendiri proses yang diberikan.

“Mulai esok, hanya seorang ibu atau bapa atau penjaga boleh menemani remaja di bawah jagaan masuk ke kawasan PPV iaitu Stesen 1: Saringan Suhu dan gejala, Stesen 2: Pendaftaran vaksinasi, Stesen 3: Kebenaran ibu/bapa/penjaga dan konsultasi dan Stesen 4: Pemberian vaksin.

“Selesai proses vaksinasi, ibu atau bapa atau penjaga diminta menunggu di luar bagi memastikan kerusi yang disediakan di kawasan pemerhatian mencukupi untuk remaja yang telah divaksinasi duduk dan diawasi. Selepas tamat tempoh pemerhatian 15 hingga 30 minit, remaja akan dikembalikan kepada jagaan ibu atau bapa atau penjaga,” jelasnya.

Dr. Noor Azmi berkata, individu dewasa yang menemani juga dibenarkan untuk merakam video suntikan ke atas remaja ketika proses vaksinasi dijalankan seperti amalan SOP sebelum ini.

Tambahnya, kerajaan berterima kasih kepada semua petugas kesihatan dan sukarelawan yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan program vaksinasi selama ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI