JAKARTA – Satu video yang menunjukkan dua orang wanita mengamuk dan bertengkar akibat hutang menjadi tular di aplikasi sosial TikTok, lapor laman Suara.com semalam.
Menerusi video yang dimuat naik oleh akaun @warunges3 itu, salah seorang daripada wanita itu telah didatangi oleh seorang wanita lain yang merupakan pengutip hutang daripada pihak bank.
Berang hutangnya ditagih, wanita itu kemudiannya mengamuk sebelum mula menggenggam pasir pada tangannya.
“Silakan, tidak mengapa silakan,” demikian kata si pengutip hutang apabila melihat wanita berbaju biru itu seolah-olah bersedia untuk membaling pasir yang digenggamnya itu ke arahnya.
Si penghutang itu kemudiannya membaling pasir tersebut ke udara dan mengulangi perbuatan itu sebanyak beberapa kali.
Seorang lelaki dipercayai suami si pelaku kemudian muncul di tengah-tengah pertengkaran itu dan meminta wanita yang mengamuk tersebut supaya bertenang.
Dia juga dilihat turut memarahi si pengutip hutang tersebut.
Netizen yang menonton video itu meninggalkan pelbagai komen berkenaan insiden terbabit.
“Sebenarnya mereka (si penghutang) juga mungkin bimbang dan memikirkan mahu makan apa esok, bukannya dia sengaja tidak mahu membayar hutang itu,” tulis seorang netizen.
Sehingga Sabtu lalu, video tersebut telah ditonton lebih sembilan juta kali dengan 700,000 tanda suka. – AGENSI