TERDAPAT satu potongan lirik lagu nyanyian rapper unggul Kanada iaitu Drake yang popular sekitar 2013 berbunyi, ‘started from the bottom, now we’re here’ (bermula dari bawah, sekarang kita di sini).
Situasi nukilan lirik berkenaan sesuai menggambarkan keberadaan kumpulan wanita hebat negara, Dolla yang dianggotai empat orang wanita berbakat besar, Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo), Tabitha Ariel Lam (Tabby), Angelina Chai Ka Ying (Angel) dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya).
Jika pada awal kemunculan dahulu, mereka sering dimomok-momokkan sebagai klon kumpulan K-pop Blackpink, sekarang Dolla membuktikan dengan usaha dan bakat yang jitu, tiada apa yang mustahil. Mereka sekali gus menjadi antara kumpulan vokal wanita paling digeruni masa kini.
Selepas melahirkan beberapa hit seperti Dolla Make You Wanna, Impikan dan Watch Me Glow, Dolla kembali menderaskan langkah dengan peluncuran single terbaharu berjudul Berani.
Perkasakan wanita
Sabronzo, 26, mewakili Dolla berkata, lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh John Jeeves dan Firdaus Rahmat itu sedikit berbeza daripada kebanyakan single mereka sebelum ini.
“Daripada ‘teaser’ yang Dolla sudah muat naik dalam Instagram, boleh dengar yang instrumental lagu ini memang lain. Malah, ‘vibe’ dan genre juga lain daripada lagu yang Dolla buat sebelum ini. Dalam erti kata lain, kali ini kita buat perlahan sedikit.
“Mungkin peminat Dolla akan tertanya-tanya kenapa single kali ini berbeza dari segi susunan muzik. Bagi saya, Dolla juga nak tunjukkan sisi lain yang selama ini ramai tidak tahu terutamanya dalam muzik ini. Paling penting, kami mahu buktikan Dolla juga versatil sebagai grup M-Pop,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai single tersebut, Dolla pernah muncul menerusi telefilem yang mengisahkan kehidupan mereka iaitu Dolla Watch Me Glow berkata, lagu Berani berkisarkan pemerkasaan wanita melalui sistem sokongan.
“Lagu Berani ditujukan kepada wanita dan mahu mengangkat martabat wanita itu menerusi semangat juang dengan bangkit melawan penindasan dan ketakutan.
“Pada zaman ini, seseorang wanita sudah perlu keluar daripada segala ketakutan, gantikan dengan keberanian dan menunjukkan kepada dunia bahawa dia tidak takut, dia berani dan berdikari. Wanita perlu berani.
“Jadi, jelas tema yang ingin disampaikan dan diketengahkan menerusi lagu ini adalah semangat dan membangkitkan keberanian dalam diri wanita.
“Bukan apa, hari ini masih ramai wanita yang takut untuk berubah kerana berasakan diri mereka lemah. Disebabkan itu, wanita perlu sentiasa ada sokongan yang kuat dari orang sekeliling,” katanya.
Bagi Sabronzo juga, tema yang diketengahkan dalam lagu Berani itu ditujukan khas buat peminat setia mereka yang sudah banyak memberikan sokongan sejak awal kemunculan Dolla.
“Jadi apa yang membuatkan lagu ini istimewa adalah Dolla menjadikan lagu Berani ini sebagai lagu dedikasi buat seluruh peminat kami yang digelar iDolla yang sudah setia memberikan sokongan dan sentiasa berada bersama kami.
“Itu sudah cukup memberikan motivasi dan inspirasi kepada kami untuk terus berjaya dan memberikan yang terbaik dalam bidang muzik ini.
“Jadi, harapan Dolla adalah semoga iDolla dan peminat muzik tempatan boleh menghargai dan ‘enjoy’ dengan lagu Berani ini. Paling penting juga harapnya pendengar dapat menerima sisi lain Dolla dalam lagu ini,” katanya.
Pasca Covid-19, animasi
Dalam perkembangan lain, Sabronzo mengakui Dolla teruja untuk kembali memeriahkan industri muzik tanah air selepas semua aktiviti seni dan persembahan dibenarkan beroperasi.
“Sekarang Dolla memang sudah ada merancang untuk membuat persembahan secara langsung untuk beberapa acara. Jadi, kami sangat teruja sebab dapat membuat persembahan semula untuk semua. Dalam masa sama, menerusi lagu Berani ini kami boleh fokus dari segi vokal.
“Selain itu, buat masa sekarang kami mahu memberi fokus pada lagu ini dahulu dan dalam masa sama ada lagu baru lain yang sedang dalam proses pembikinan,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai video muzik (MV) Berani yang diarahkan oleh Thaqif Saadon itu, Sabronzo berkata, terdapat beberapa faktor yang menjadikan MV ini lain daripada yang lain.
“Pertama adalah pengunaan medium animasi dalam mengambarkan Dolla dalam suatu alam yang berbeza. Dengan masa yang diberikan, kami sepenuh tenaga mengumpulkan segala kudrat untuk menghasilkan MV yang kami percaya akan mengangkat martabat MV berkonsepkan animasi kepada aras yang lebih tinggi.
“Dari segi penyampaian cerita juga, kami cuba yang terbaik untuk menyampaikan suatu cerita fantasi yang bergantung kepada penonton untuk huraikan dan impretasikan diri mereka sendiri,” katanya.
Semakin dikenali bukan hanya di Malaysia bahkan di Amerika Syarikat (AS) apabila wajah mereka terpampang di papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, kumpulan Dolla tidak meletakkan sebarang syarat spesifik andai berjaya mengatur langkah ke Hollywood suatu hari nanti.
Kata Dolla, berlaku jujur terhadap diri masing-masing yang membuatkan mereka berada pada tahap sekarang dan unik di mata peminat.
“Kami percaya, apa yang unik tentang Dolla adalah kejujuran terhadap diri masing-masing. Tiada apa yang perlu diubah kalaupun suatu hari nanti kami berpeluang ke Hollywood untuk mengembangkan pasaran muzik.
“Kami berada pada posisi sekarang atas sokongan dan bantuan para peminat.
Kami takkan berubah hanya kerana untuk memuaskan hati pihak lain. Kami hanya akan jadi diri sendiri,” kata Sabronza lagi.
Dalam pada itu, Dolla memaklumkan, buat masa sekarang, ada dua selebriti yang mereka berhasrat untuk berkolaborasi bersama.
“Pertamanya, Ariana Grande. Sebab memang tengah ‘hot’ sekarang. Kalau dapat bikin muzik dengan dia, mimpi akan jadi kenyataan.
“Kedua, saya rasa ada ruang dan peluang untuk Dolla bekerjasama dengan K-Clique, boleh battle trap! pasti mengujakan,” kata Dolla menutup bicara.