BENTONG – “Tiada apa lagi yang tinggal, rumah dan kedai warisan keluarga musnah sekelip mata,”kata Ho Sin Kuan,39, ketika ditemui di Kampung Baru Karak di sini hari ini.
Sebanyak 48 buah rumah musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku malam semalam di Kampung Baru Karak yang mempunyai kira-kira 700 buah rumah.
Sin Kuan berkata, kejadian kebakaran tersebut sekelip mata memusnahkan tempat tinggal dan sumber mata pencariannya sekeluarga yang masih terbeban ekoran pandemik Covid-19.
Katanya, akibat kejadian dia dan keluarga kini tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah saudara berhampiran.
“Semasa kejadian saya mendengar bunyi bising dan apabila melihat keluar dua buah rumah berebelahan telah terbakar dan api yang begitu marak menyebabkan kami panik dan hanya menyelamatkan diri.
“Saya tidak tahu lagi apa hendak buat, kami hanya berjaya selamatkan kad pengenalan kerana api marak dengan begitu cepat menyebabkan rumah dan kedai yang berusia lebih 60 tahun musnah,”katanya.
Dalam pada itu Wa Soon Ki, 60, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga dan hanya sempat mengambil dompet dan tinggal seluar pendek yang dipakainya ketika keluar dari rumah.
“Saya keluar dari rumah selepas mendengar orang panggil dan mendapati api marak di rumah hadapan menyebabkan saya menyuruh isteri keluar dan cuba menyembur api dengan paip agar api tidak merebak tetapi api terlalu kuat.
“Saya tidak mengambil barang kerana saya mahu cuba mengelakkan api merebak dankini tiada apa yang saya ada, seluar dan baju pun orang punya,”katanya.
Katanya, kehilangan rumah warisan sekelip mata membuatkan perasaannya kini kosong apatah lagi memikirkan untuk membina semula rumah dalam keadaannya pendapatannya yang berniaga di gerai agak terjejas pada masa ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929