PELUMBA pasukan Tuneboss-Pink Racing, Muhamad Harith Farhan Baharin bertekad untuk melakukan kejutan ketika turun bersaing di laman sendiri pada perlumbaan Cub Prix Malaysia di Pusingan 5 dan 6 di Terengganu.
Harith yang meraih podium pertama CP125 bersama TBPR di pusingan ketiga di Sepang bulan lalu mengakui saingan di Litar Permotoran Terengganu sangat mencabar dan memerlukan strategi terbaik untuk muncul juara.
Justeru, Harith yang mencatat masa kedua terpantas mahu lakukan sebaik mungkin memandangkan rekod yang diperoleh setiap pelumba pada sesi kelayakan tidak terlalu jauh, sekali gus bakal menyaksikan satu pertembungan sengit hujung minggu ini.
“Sudah pasti saingan pasti mencabar ketika saingan kembali ke litar lebih kecil. Namun saya tetap yakin pasukan bakal menyediakan jentera terbaik buat kami minggu ini mengikut pelarasan yang berbeza berbanding Sepang.
“Bagi saya, litar di Terengganu sangat lengkap kerana trek ini kecil, ada selekoh pendek, tajam dan saya sangat puas ketika bersaing di sini.
“Boleh dikatakan perlumbaan di Terengganu adalah fight sebenar jika ingin dibandingkan bersaing di Sepang. Kita tahu litar ini lebih teknikal dan perlukan strategi baik untuk menaiki podium di sini.
“Jadi saya akan lakukan terbaik 200 peratus untuk meraih kemenangan di sini. Saya harap dengan momentum terbaik pada sesi kelayakan dapat membantu saya untuk ke podium esok,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada aksi kelayakan semalam, Harith berjaya merekodkan masa terpantas dengan catatan 52.159 saat (s), manakala rakan sepasukannya Saiful Azhary Muhammad muncul 13 terbaik dan Siti Norafizah Muhammad tempat ke-22.
Selepas empat pusingan perlumbaan, Harith kini menduduki tangga ketujuh dengan 30 mata, manakala Siti Norafizah (19 mata) dan Saiful (sembilan mata).