Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaikan harimau tidak bergigi apabila turun tanpa kelibat mesin gol, Bergson Da Silva, namun masih mampu mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas PJ City FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.
Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi hambar setelah tidak banyak aksi menarik yang boleh diperkatakan selain gol cantik jaringan Gonzalo Cabrera hasil rembatan jarak jauh pada minit ketiga.
Ahmad Hazwan Bakri yang banyak menghabiskan masa memanaskan bangku simpanan musim ini dilihat gagal memangku tugas Bergson sebagai pencetak gol dengan baik apabila tiada percubaan berbahaya dilakukan dan JDT hanya merekodkan satu percubaan tepat ke arah gol pada babak pertama menerusi jaringan Cabrera.
Bagaimanapun, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora tetap mempertahankan keputusannya yang tidak meletakkan Bergson dalam senarai pemain dan menjadikan sistem penggiliran sebagai alasan penyerang kelahiran Brazil itu diketepikan.
Mora menegaskan, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya mengekalkan rentak kemenangan untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman JDT.
“PJ City membuktikan mereka mampu menyaingi JDT menjadikan permainan di tahap intensiti tinggi. Nasib kami baik apabila memperoleh gol jaringan dari luar kotak penalti setelah berdepan kesukaran untuk merobek benteng pertahanan lawan.
“Apa yang mustahak di sini ialah kita berjaya mengutip mata penuh dan saya sangat berpuas hati dengan aksi pemain. Bagi saya, kepuasan diukur bukan berapa jumlah jaringan tetapi tentang memberikan segalanya atas padang, mempamer persembahan terbaik dan mengikut arahan taktikal dirancang.
“Ada masanya kita menang dengan jaringan besar dan ada masanya tidak. Jadi, bagi saya tidak ada bezanya menang 1-0 atau menang 10-0, kita tetap mengutip tiga mata,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Sejak membuat penampilan pertama ketika menentang UiTM FC pada aksi Liga Super, 13 Mac lalu, Bergson tidak pernah diketepikan daripada sebarang perlawanan dan telah menjaringkan 23 gol dalam 20 penampilan liga.