LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp terpaksa menerima hakikat apabila dia tidak dapat menurunkan dua pemainnya, Trent Alexander-Arnold dan Thiago Alcantara menjelang pertembungan dengan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) esok.
Pemain pertahanan kanan, Alexander-Arnold mengalami masalah kecederaan pangkal paha dan diketepikan ketika kemenangan 5-1 pada aksi Liga Juara-Juara ke atas Porto, Rabu lalu.
Lebih memeritkan, Klopp juga mengesahkan dia masih tidak dapat menggunakan khidmat Thiago selepas diketepikan tiga perlawanan akibat mengalami kecederaan betis.
“Tiada berita baik kerana kedua-dua pemain tersebut tidak akan diturunkan ketika berdepan City nanti. Saya jangka mereka berdua akan kembali bersama pasukan sejurus berakhir rehat antarabangsa
“Apa pun, kami mempunyai pasukan yang berkualiti dan pasti ada jalan terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut. Jadi, saya yakin mereka akan kembali bersama pasukan selepas ini,” kata Klopp.
Klopp dijangka akan menurunkan James Milner untuk mengekang asakan City selepas dia sebelum ini tampil dengan cemerlang ketika berdepan Crystal Palace.
Liverpool sebelum ini kehilangan beberapa pemain terbaiknya, namun Naby Keita dikatakan bersedia untuk diturunkan semula termasuk Roberto Firmino.
Liverpool berada di puncak liga dengan aksi tanpa kalah enam perlawanan, selain mengatasi City, Chelsea dan United dengan satu mata. – AGENSI