KOTA KINABALU – Sebanyak 11 bangkai penyu hijau ditemui di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna, hari ini.
Dalam penemuan kira-kira pukul 6 pagi itu, semua penyu berkenaan dipercayai dilapah dan dimasak sebelum isinya dikumpulkan di dalam guni.
Malah, semua bangkai penyu berkenaan ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dibiarkan mereput dengan perut terburai dan dibuang merata tempat.
Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semua bangkai terbabit ditemui dalam operasi Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan bersama Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan.
“Sebaik semua bangkai itu ditemukan, anggota bertugas turut menemui sebatang kait dipercayai digunakan untuk menangkap penyu.
“Kita juga menemui dua guni berisi isi penyu yang sudah dimasak selain bangkai penyu dan peralatan memasak.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di sekitar lokasi tidak menemui suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rani menyatakan semua penemuan termasuklah peralatan memasak kemudiannya dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,200 berdasarkan harga pasaran semasa.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929