LUMUT – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) agar tidak mengabaikan tuntutan agama selain menjaga maruah dan kehormatan.
Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM turut menitahkan anggota Paskal sentiasa ingat kepada tuhan walau dalam apa jua keadaan sekalipun selain sentiasa berdoa sekiranya mengalami kesukaran ketika bertugas.
Malah Baginda turut menzahirkan InsyaAllah dengan berdoa akan memberikan kekuatan dan keberanian kepada anggota Paskal untuk menghindar diri daripada ketakutan.
“Lambang trimedia yang tersemat di dada anda adalah lambang kehormatan yang perlu dipertahankan.
“Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota Paskal dengan melibatkan diri kepada perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar Paskal,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah pada upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Paskal kepada Kapal Diraja (KD) Panglima Garang di Pengkalan TLDM di sini hari ini.
Paskal yang ditubuhkan pada 1982 telah berfungsi untuk mempertahankan Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan selain melaksanakan pelbagai operasi-operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman.
Sepanjang tempoh itu juga, Paskal telah berjaya melatih seramai 1,103 orang pegawai dan anggota tentera laut dalam dan luar negara melalui pelbagai kursus-kursus khas yang dijalankan.
Sultan Sharafuddin turut menyeru semua anggota Paskal agar menjaga keselamatan diri semasa menjalani latihan disamping memberi tumpuan berganda dengan menitikberatkan aspek keselamatan untuk mengelakkan kemalangan jiwa.
“Faktor keselamatan hendaklah dititikberatkan dan diuji berulangkali sebelum latihan tersebut dilaksanakan.
“Beta mahu anda semua komited melaksanakan amanah dengan penuh taat setia dan bersemangat tinggi.
“Junjunglah cogan kata ‘Sentiasa Yang Terbaik’ agar ia benar-benar baik. Pertahankan semangat setia kawan yang merupakan inti kepada komuniti Paskal,” titah Baginda. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929