PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mempunyai keupayaan menyelesaikan kes-kes rasuah berprofil tinggi untuk diihat sebagai sebuah badan penyiasatan bertaraf antarabangsa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, kejayaan SPRM menyelesaikan kes-kes rasuah berprofil tinggi akan turut memberi imej yang baik kepada negara di mata dunia.
“Apa yang saya impikan adalah SPRM dilihat sebagai satu badan penyiasatan yang bertaraf antarabangsa dan dengan itu akan membawa imej yang lebih baik kepada negara kita.
“Kita mesti tunjukkan kes-kes ini (berprofil tinggi) berjaya disiasat terutama yang melibatkan kerugian kepada negara. Membongkar isu-isu kehilangan dana dan ketirisan dana dalam perolehan kerajaan.
“Saya perlu memperkemaskan dan mempertingkatkan ilmu serta skil pegawai-pegawai supaya sesuai dengan perkembangan semasa dalam negara,” katanya pada sesi Wawancara Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Sempena Ulang Tahun SPRM Ke-54 yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Terdahulu, Azam berkata, era memerangi rasuah pada zaman dahulu dan zaman sekarang adalah berbeza kerana semasa pasca kemerdekaan, kes rasuah lebih berkisar tentang penguat kuasa tetapi kini adalah tentang rasuah ekonomi.
Justeru, jelasnya, SPRM tidak boleh berada di takuk lama kerana rasuah berubah-ubah mengikut keadaan semasa disebabkan berlakunya transformasi ekonomi dan sosio budaya.
Sebagai contoh, beliau menyentuh tentang isu pembiayaan dana politik yang masih tidak mempunyai undangundang khusus mengenainya di negara ini.
Menurutnya, keadaan itu menyulitkan perbezaan antara rasuah dan dana politik, maka sudah tiba masa untuk semua pihak bersetuju supaya undangundang berkaitan pembiayaan dana politik diwujudkan.
Azam memberitahu, perkara itu sudah pun diperingkat kajian Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum dibentangkan untuk perbincangan Kabinet.
Kata beliau, antara skop yang ditekankan dalam draf undangundang itu adalah tentang keperluan mengisytihar pihak yang membiayai dana politik dan dana perlu dimasukkan ke dalam akaun parti, bukan akaun peribadi ahli politik.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang isu lompat parti yang masih tiada peruntukan undang-undang khusus membabitkan perkara itu di negara ini.
“Namun, diingatkan jika ahli politik secara suka rela melompat parti itu bukan kesalahan, tetapi jika dibayar itu merupakan satu perbuatan rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pegawai SPRM telah menunjukkan semangat kerja dan tekad yang besar sepanjang negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.
Tambah beliau, sebanyak 857 kertas siasatan telah dibuka pada 2020 melibatkan 998 tangkapan dan bagi tahun ini sebanyak 687 kertas siasatan dibuka setakat Ogos lalu melibatkan 660 tangkapan. -K! ONLINE