TINGGAL sebumbung (suami isteri) dan bercinta adalah dua perkara berbeza ibarat langit dan bumi.
Ada pasangan yang begitu sempurna bila bercinta dan keluar ‘dating’ mengalahkan Romeo dan Juliet, namun ‘panas’ apabila serumah.
Ada wanita yang begitu cantik menawan, manja, baik, penyabar, penyayang bak kata, sejuk mata memandang sejuk hati terasa.
Namun, selepas tinggal sebumbung dan semasa suami terjaga pagi di atas karpet dan melihat isteri misalinya melintang di atas katil baru dia sedar yang sang isteri rupanya tidur lasak.
Begitu juga lelaki, paras rupa seperti ‘oppa’ idaman wanita, namun bila sebumbung baru tersedar bahawa dia suka tinggalkan cawan dan pinggan merata-rata selepas makan atau terlupa ‘flush’ tandas selepas digunakan.
Kepada pemuda dan gadis yang bakal berumah tangga, keserasian sebumbung adalah antara perkara yang patut difikirkan.
Mungkin semasa berpacaran atau keluar temu janji, ia melibatkan pemikiran sedar bermakna segala tingkah laku , tutur kata dan emosi perlu melalui sistem ‘penapisan’ sebelum ditonjolkan.
Justeru, apa yang dizahirkan semuanya hampir atau molek-molek sahaja, sementelah keberadaan di rumah banyak melibatkan tabiat yang melibatkan aras pemikiran bawah sedar.
Tingkah laku di rumah dipupuk sejak dari zaman kanak-kanak dan harus ia tidak mudah berubah atau boleh diubah hanya kerana perasaan cinta kepada pasangan.
Pernahkah anda memandu sambil mengelamun dan tidak sedar perjalanan anda, namun anda selamat tiba di pejabat atau pulang ke rumah tanpa perlu memikirkan pemanduan anda?
Ini mungkin pemikiran bawah sedar anda mengambil alih tugas tersebut.
Begitu juga keberadaan di rumah, banyak perkara yang sebati dengan diri anda tanpa disedari yang pada anda sudah menjadi normal.
Untuk mengubahnya bukan sesuatu yang mudah ibarat anda sudah 10 tahun memandu tetapi cuba mengajar diri anda supaya tidak tahu memandu.
Cubaan suami atau isteri untuk mengubah sesuatu tabiat pasangan masing-masing yang tidak disukai mereka kerap berakhir dengan perasaan kecewa.
Apabila tabiat sudah menjadi gaya hidup untuk mengubahnya atau ‘unlearn’ adalah hampir mustahil.
Mungkin sebagai persediaan sebumbung, bakal pengantin baharu perlu menggunakan imaginasi tentang perkara menjengkelkan yang anda perlu berdepan dengannya setiap hari.
Jika anda fikir anda boleh melaluinya, kejutan tinggal sebumbung dan proses mencari keserasian tidaklah begitu sukar.
‘Expectation’ lelaki dan wanita yang berbeza apabila mendirikan rumah tangga. Ramai lelaki mencari isteri untuk mendirikan rumahtangga sedangkan ramai wanita pula mengimpikan teman hidup atau ‘companion’ apabila bergelar isteri. -K! ONLINE