KUALA LUMPUR – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui dua rakaman audio visual di Facebook tentang vaksin dan penyebab penyebaran virus Covid-19.
Bagaimanapun Lokman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lokman didakwa menggunakan aplikasi facebook profil ‘Lokman Adam’ dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam telah menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual berhubung kematian seorang pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner yang dikaitkan dengan vaksin dan kemasukan warga India di negara ini yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.
Kedua-dua rakaman audio visual itu masing-masing dibuat pada 9 April dan 3 Mei 2021 antara pukul 10.38 malam dan 10.55 malam yang kemudian kedua-dua rakaman itu dilihat pada 11 April dan 9 Mei 2021 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Bukit Aman Kuala Lumpur.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu)(No.2 ) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap satu pertuduhan yang mana kedua-dua jumlah ikat jamin itu RM60,000.
Bagaimanapun peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan 11 orang anak dan isteri.
“OKS kini tidak bekerja dan membantu isterinya menjual sate, tujuh hingga lapan orang anaknya masih belajar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Lokman diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Tarikh 25 November ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Semalam media melaporkan bekas Ahli MKT UMNO berpangkat Datuk akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Sebelum ini, beliau disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
USJT telah mengambil tindakan berkenaan selepas kertas siasatan terhadapnya, dirujuk dan mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara untuk menuduh di mahkamah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929