LISBON – Saham penyerang Benfica, Darwin Nunez terus melonjak di pentas Eropah selepas bintang muda Uruguay itu meledak dua gol ketika menewaskan Barcelona 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Da Luz awal pagi semalam.
Walaupun baru berusia 22 tahun tetapi ia tidak menghalang Nunez untuk mengucar-kacirkan benteng pertahanan The Catalans sepanjang perlawanan sebelum digantikan oleh Goncalo Ramos pada minit ke-86.
“Saya sentiasa mengidamkan aksi menentang pasukan hebat seperti Barcelona. Ia satu kepuasan yang tidak terhingga, apatah lagi apabila saya berjaya menjaringkan gol dalam aksi sebegini.
“Ia bukan satu tugas mudah sebenarnya kerana ini adalah perlawanan di peringkat Eropah pertama kami di laman sendiri musim ini. Saya patut berterima kasih kepada rakan-rakan kerana membantu dua jaringan saya.
“Saya akan terus memberikan segala-galanya buat Benfica. Saya akan mempertahankan jersi ini selagi saya masih di sini,” kata Nunez.
Nunez yang dianggap sebagai penyerang masa depan Uruguay bagi menggantikan Edinson Cavani dan Luis Suarez, tidak menunggu lama apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum meraih gol keduanya pada minit ke-79.
Kecemerlangan itu menyaksikan jaguh Jerman, Bayern Munich memantau perkembangannya sebelum membuat keputusan untuk membelinya sebagai calon pengganti kepada Robert Lewandowski yang kini sudah berusia 33 tahun.
Satu lagi gol wakil Portugal itu diperoleh menerusi Rafa Silva pada minit ke-69.
Ketua jurulatih Benfica, Jorge Jesus menjelaskan, anak-anak buahnya berhak meraih kemenangan itu kerana lebih banyak melakukan serangan ke arah gawang Barcelona biarpun cuma memegang 40 peratus penguasaan permainan. – AGENSI