LONDON – Pemain tengah sensasi West Ham United, Declan Rice mengakui masih gembira bersama pasukan itu biarpun sudah menolak dua tawaran kontrak baharu yang dikemukakan kelab itu.
Pemain tersebut menjadi sasaran Chelsea, Manchester United dan Manchester City dilaporkan mahu beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara menyebabkan dia tidak bersedia untuk kekal bersama kelab yang berpangkalan di London itu.
Rice masih mempunyai baki kontrak semasa bersama West Ham selama tiga tahun lagi tetapi kelab itu dikatakan bersedia memberikan tawaran baharu yang lebih lumayan.
“Semua orang tahu bagaimana perasaan saya terhadap West Ham dan saya masih gembira berada di bawah pengurus ketika ini serta rakan-rakan sepasukan yang lain.
“Anda boleh lihat bagaimana persembahan yang saya berikan untuk pasukan ini, tidak ada apa yang merisaukan saya. Anda boleh lihat perbezaan jika saya gagal memberikan persembahan sebenar,” katanya.
Rice yang tidak akan dijual oleh West Ham dengan harga kurang daripada £100 juta (RM563.24 juta) percaya kelab itu mampu membantunya mencapai impian beraksi di pentas Eropah.
“Kami sudah berjaya meraih beberapa perkara yang terbaik. Musim lalu, kami hanya kekurangan tiga mata untuk beraksi di Liga Juara-Juara.
“Mentaliti pasukan ketika ini adalah setiap kali turun beraksi adalah kami mahukan kemenangan. Ia adalah perkara terbaik yang kami capai untuk pasukan ini,” jelasnya. – AGENSI