PETALING JAYA – Orang ramai mula memenuhi kedai-kedai sukan untuk mendapatkan barang keperluan masing-masing susulan peralihan negeri-negeri di Lembah Klang ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
Peralihan Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya ke Fasa 3 menyaksikan orang ramai berpeluang untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah mengikut ketetapan yang digariskan pihak kerajaan.
Menurut pekerja kedai sukan, Zulkifli Abdul Rahman, 21, kehadiran orang ramai mula dirasai sejak beberapa hari lalu dengan kasut sukan menjadi antara peralatan yang paling banyak dibeli.
“Memang tidak mengejutkan kerana banyak sektor ekonomi dan sosial telah dibuka.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai duduk di rumah untuk mengelakkan daripada dijangkiti Covid-19.
“Namun, dengan norma baharu ini, orang ramai mula kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Seorang lagi pekerja kedai peralatan sukan, Wan Mohd Ridwan, 33, berkata, selain kasut sukan, barang gimnasium dumbell, treadmill dan basikal senaman turut laris dijual.
“Orang ramai masih mencari alatan-alatan tersebut dan ini membuktikan rakyat kita suka bersukan,” katanya. -K! ONLINE