PETALING JAYA – Peruncit perkakas rumah kegemaran ramai, MR D.I.Y. Group bakal melancarkan 35 cawangan baharu di tujuh negeri bulan ini, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan milik kumpulan tersebut sebanyak 830 buah di seluruh negara.
Cawangan baharu itu terdiri daripada 14 cawangan MR. D.I.Y., tiga cawangan MR. D.I.Y. Express, enam cawangan MR. TOY dan 12 cawangan MR. DOLLAR.
Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y. Group (M) Berhad, Andy Chin berkata, pihaknya komited untuk memenuhi janji Always Low Prices di lokasi-lokasi strategik untuk kemudahan lebih ramai rakyat Malaysia.
“Kami sedar corak pembelian telah berubah, pengguna kini memilih untuk pergi ke kedai yang berhampiran dengan mereka dan mahukan kedai yang memenuhi keperluan mereka untuk pelbagai jenis produk.
“Trend ini sesuai dengan penawaran kami memandangkan MR D.I.Y. mempunyai 830 buah cawangan dan hampir 20,000 jenis produk, manakala cawangan baharu ini akan membolehkan lebih ramai pelanggan memperoleh akses mudah ke premis kami, seterusnya memacu pertumbuhan Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Andy menambah, pembukaan tiga cawangan baharu MR. D.I.Y. Express dijangka mampu menarik perhatian penduduk luar bandar.
“MR. D.I.Y. Express adalah format kedai baharu kami yang direka khas untuk lokasi yang berkepadatan tinggi dan komuniti luar bandar.
“Bersaiz 2,000 hingga 3,000 kaki persegi (185-278 meter persegi), kedai ini dilengkapkan dengan pelbagai barangan keperluan yang diperlukan oleh komuniti di kawasan tersebut.
“Kami menggunakan analisis data yang teliti untuk mengenal pasti trend pembelian di lokasi-lokasi berbeza, kemudian mengisi stok yang sesuai di cawangan tersebut untuk memastikan pelanggan gembira dengan format peruncitan moden kami yang relevan dan bermanfaat,” katanya.