fbpx

Malaysia-AS perkukuh komitmen dalam pelbagai hala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Hubungan dua hala terjalin antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) akan terus diperkukuhkan lagi termasuk menerusi program pertukaran lawatan pemimpin tinggi.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu antara yang dibincangkan beliau menerusi perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken semalam yang turut sama-sama berikrar meneruskan komitmen hubungan baik Putrajaya-Washington DC dalam potensi kerangka perkongsian komprehensif.

“Kedua-dua menteri itu melahirkan keazaman untuk meneruskan momentum jalinan dua hala antara Malaysia dan AS dalam pelbagai bidang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pernyataan tersebut turut selari dengan makluman jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price dalam sidang akhbar rutin di Washington, AS lewat malam tadi waktu Malaysia.

Antara diperbincangkan ialah bidang kesihatan dan keselamatan meliputi isu-isu serantau dan antarabangsa khasnya situasi semasa di Myanmar dan kemelut Laut China Selatan ketika ini.

Saifuddin turut berkongsi keprihatinan Malaysia atas isu kerjasama pertahanan tiga pihak, Australia-United Kingdom-AS (AUKUS) yang dibimbangi mencetuskan ketegangan baharu dan berkemungkinan menyebabkan perlumbaan senjata di rantau Asia Tenggara.

Beliau turut mengulangi komitmen ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan menyeru agar semua pihak terlibat untuk menghormati dan mematuhi Konvensyen Undang-Undang Laut Bangsa-Bangsa Bersatu 1982.

Ini ujarnya, selaras Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear ASEAN yang dimeterai di Bangkok, Thailand pada 1995 melibatkan semua 10 negara anggota dan berkuat kuasa pada 1997 selain berharap semua pihak mengukuhkan kerjasama bagi memastikan kestabilan serantau kekal berdasarkan ASEAN Outlook Indo-Pacific dimeterai pada 2019.

Saifuddin juga menzahirkan penghargaan keprihatian AS atas sumbangan sejuta dos vaksin Covid-19 pada Julai lalu dan bantuan kewangan khas AS$800,000 (RM3.3 juta) baru-baru ini yang disalur menerusi Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang berpusat di Switzerland bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kedutaan AS di Kuala Lumpur turut memberi pelbagai bantuan peralatan dan sumbangan tertentu sebanyak AS$2.85 juta (RM11.9 juta) sejak wabak itu melanda awal tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI