KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan menarik lebih 190,000 usahawan dan ahli koperasi di bawah naungannya mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam masa tedekat.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, skim yang ditawarkan Perkeso mampu memberikan manfaat sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada dua golongan tersebut.
Justeru, kata beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam memudah cara permohonan caruman itu.
“Kita akan bermula dengan lebih 300 usahawan di Parlimen Tanjong Karang dan bagi saya rugi sekiranya tiada caruman Perkeso ini.
“Faedahnya banyak bagi membantu golongan berkenaan,” katanya selepas menghadiri sambutan Jubli Emas ke-50 Perkeso peringkat Tanjong Karang di sini, hari ini. -K! ONLINE.