fbpx

‘Jatuh’ ditipu, bangkit semangat untuk berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN senang untuk senang. Itu perumpamaan paling tepat dan akan dirasai setiap insan dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh cabaran.

Tidak kisahlah apa jua impian dan cita-cita yang ingin dicapai, semuanya memerlukan pengorbanan dan usaha berterusan tanpa kenal erti jemu.

Itu juga yang pernah dilalui anak jati kelahiran Alor Setar, Kedah, Suhaida Saad pada fasa permulaan dia ‘berjinak-jinak’ dengan dunia perniagaan lebih sedekad lalu.

Usai menamatkan pengajian dalam jurusan Pertanian di Universiti Putra Malaysia kira-kira 15 tahun lalu, Suhaida hanya melihat cabang perniagaan sebagai satu-satunya kerja yang boleh dilakukannya.

Walaupun memiliki pengkhususan dalam bidang pertanian, namun anak kedua daripada tiga beradik itu langsung tidak pernah terfikir untuk bekerja dalam bidang berkenaan.

“Tamat sahaja pengajian, saya terus terfikir untuk melakukan perniagaan bersama suami.

“Perniagaan pertama yang kami lakukan adalah penternakan benih udang galah di Kuala Muda, Kedah. Modal permulaan sebanyak RM50,000 kami berdua dapatkan daripada agensi kerajaan.

“Namun, dek kerana pelbagai faktor luaran termasuk kepayahan untuk menguruskan benih udang galah, ia hanya mampu bertahan selama
enam bulan sahaja,” katanya ketika membuka bicara bersama Aura baru-baru ini.

Meneruskan perbualan, menurut wanita berusia 38 tahun itu, dia dan suami pada ketika itu tiada alternatif lain dan terpaksa melakukan apa
sahaja kerja demi kelangsungan hidup.

SUAMI, Muhd. Zaidi Abdul Ghani menjadi tulang belakang Suhaida untuk terus melangkah dan melebar luas minat dalam perniagaan.

Ceritanya, dia terpaksa balik ke kampung dan nekad menggunakan semula kemahiran yang dipelajarinya sewaktu di universiti untuk
meneruskan kehidupan yang semakin mencabar.

“Saya dan suami tiada pilihan lain selain nekad untuk menyewa sedikit ruang tanah dan menanam beberapa jenis sayur.

“Walaupun langsung tidak terfikir akan ‘bermain’ dengan tanah hingga terpaksa mengerah keringat menanam sayur, kami tiada pilihan waktu itu. Itu saja yang boleh dilakukan.

“Wang hasil jualan sayur itu jugalah kami lunaskan hutang sebagai modal permulaan yang dipinjam untuk perniagaan udang galah sebelum ini,” ujarnya yang turut melibatkan diri dalam perniagaan menjual mi kuning pada ketika itu.

Benar kata orang, langit tidak selalunya cerah. Nasib ‘buruk’ sekali lagi menimpa Suhaida dan suaminya.

“Baru sahaja memulakan perniagaan pemprosesan mi kuning dengan jenama sendiri, kami ditipu pembekal yang membawa lari wang sejumlah RM130,000.

“Wang tersebut dipinjam daripada bank untuk membeli mesin pemprosesan automatik untuk mi kuning yang kami hasilkan.

“Sudahlah wang dikebas, pembekal pula entah ke mana menghilangkan diri. Sekali lagi kami ‘terduduk’ memikirkan bagaimana untuk meneruskan perniagaan dan membayar wang pembiayaan tersebut,” ujarnya lagi.

Berkat kesabaran dalam perniagaan tanpa kenal erti putus asa, bermula tahun 2016, pasangan itu sekali lagi nekad menceburi perniagaan.

Mereka membina jenama minuman kesihatan sendiri, Apcel yang diformulasi daripada 100 peratus ekstrak biji aprikot.

Akui Suhaida, ilham untuk mencuba dan memberanikan diri meneroka perniagaan baharu tercetus disebabkan masalah kesihatan bapanya yang memerlukan makanan tambahan bersesuaian.

“Jadi, saya dan suami terfikir untuk cuba membuat formulasi minuman kesihatan sendiri dengan menggabungkan beberapa bahan berkualiti tinggi dalam satu ramuan.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran, Apcel kini diterima ramai pelanggan di seluruh negara.

“Pada masa sama, saya turut berkongsi rezeki dan membuka peluang perniagaan bagi mereka yang berminat,” katanya yang bakal mempunyai kilang dan wisma sendiri.

Menutup bicara, Suhaida berkata, hingga kini dia berkongsi rezeki dengan lebih 23,000 ejen dan angka itu bakal bertambah sekali ganda tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI