PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa mana-mana pihak untuk berhenti memfitnah dirinya berhubung peruntukan RM65 juta bagi proses baik pulih kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana.
Najib melalui satu hantaran di Facebooknya berkata, kenyataan serta gambar-gambar yang didedahkan oleh sebuah portal yang mendakwa Seri Perdana mengalami banyak kerosakan semasa didiami Ahli Parlimen Pekan itu juga adalah tidak benar.
“Dengan mendedahkan beberapa gambar keadaan Seri Perdana dengan lantai yang basah, page pro-PN tuduh saya dan keluarga saya banyak merosakkan Seri Perdana.
“Tapi jelas di sana bahawa ianya tertulis keadaan tersebut berlaku akibat hujan lebat pada November 2020. Saya tinggal di sana sejak lebih tiga tahun dahulu, jadi bagaimana pula saya dikatakan bertanggungjawab atas keadaan dalam gambar-gambar bulan November 2020?,” katanya di sini tadi.
Najib berkata, dakwaan portal tersebut yang mengatakan Najib bersama keluarga telah mengambil pelbagai jenis barangan daripada kediaman tersebut juga adalah tidak benar.
“Jelas kelihatan bahawa hampir kesemuanya adalah kotak-kotak yang tidak besar untuk menyimpan cenderahati (ratusan yang saya terima selepas sembilan tahun), hadiah, buku-buku (ya, sesiapa yang pernah lawat di sana saya masa saya PM tahu bahawa saya ada koleksi buku yang agak besar di mini library sana masa itu) dan barang-barang sederhana kecil – bukanlah perabot-perabot besar atau mahal,” katanya.
Selain itu katanya, walaupun pernah difitnah DAP pada tahun 2010 akibat salah faham mereka terhadap bajet 2011 mengenai dakwaan kos baik pulih Seri Perdana yang mencecah RM65 juta, perkara itu tidak pernah berlaku.
“Sekiranya sahih, cerita bahawa “Najib belanja RM65 juta untuk renovate Seri Perdana” akan diulang-ulang mereka selama bertahun-tahun lamanya tapi ini tidak berlaku. Sebaliknya, tuduhan itu terhenti sahaja masa itu.
“Jadi, jangan fitnah saya lagi berhubung tohmahan RM65 juta itu,” tegasnya.
Terdahulu, Kompleks Seri Perdana menjadi bualan orang ramai selepas media melaporkan kerajaan mengesahkan kerja-kerja baik pulih kompleks itu yang membabitkan kos RM38.5 juta. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929