PETALING JAYA – Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia KL) telah menghulurkan bantuan berjumlah RM1 juta menerusi Program Bantuan Covid-19 Gardenia yang memberi manfaat kepada 90,000 penerima terdiri daripada petugas barisan hadapan dan komuniti kurang mampu.
Program tersebut meliputi lapan fasa yang dilaksanakan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 melibatkan agihan lebih 500,000 produk Gardenia kepada petugas barisan hadapan perubatan di 500 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Semenanjung, petugas barisan hadapan ekonomi seperti penghantar makanan dan barangan serta isi rumah B40.
Bantuan turut diberikan kepada pelajar universiti yang bergantung kepada Program Food Bank Siswa di universiti mereka.
Pek sumbangan mengandungi produk kegemaran ramai seperti Roti Putih Gardenia Original Classic, Kaya Auntie Rosie, Toaster Waffles, mi kuning Numee Gardenia, roti krim dan mufin.
Bantuan yang diberikan sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pula termasuk juadah tambahan seperti kurma dan biskut
raya.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, pihaknya percaya semua orang perlu memainkan peranan untuk membantu Malaysia bangkit kembali daripada kesan pandemik.
Jelasnya, sebagai jenama prihatin, Gardenia KL bersyukur kerana berpeluang memastikan petugas barisan hadapan mendapat bekalan makanan secukupnya semasa bertugas dalam waktu kerja yang panjang dan meringankan beban yang dihadapi oleh golongan B40.
“Syarikat amat berterima kasih kepada pasukan sukarelawan kami yang bekerja keras untuk memastikan bantuan diberikan tepat pada masanya di bawah Program Bantuan Covid-19 Gardenia sepanjang tempoh 18 bulan lepas.
“Kami juga merakamkan penghargaan setulus ikhlas kepada rakan-rakan komuniti Gardenia KL yang membolehkan bantuan sampai kepada masyarakat yang paling memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.